Rabu, 7 April 2021

Pemandu e-hailing didenda lagi kerana hina Agong

Bernama

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufazrin 
Amin Ismail, 27, selepas dia mengaku bersalah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing didenda RM7,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Twitter tahun lalu.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sufazrin Amin Ismail, 27, selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil “Fazr_Ismail” di Twitter terhadap Agong pada 1.55 tengah hari, 6 Jan tahun lalu.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju, pada 4.30 petang, 8 Jan tahun lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad sebelum itu memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap Sufazrin supaya kesalahan sebegitu tidak diulangi masyarakat.

“Walaupun rakyat Malaysia diberikan kebebasan untuk bersuara tetapi institusi diraja perlu dihormati,” katanya.

Sufazrin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia berasal daripada keluarga susah serta menanggung keluarga.

“Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan saya telah menyesal serta insaf atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Sufazrin Amin pernah didenda RM16,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen sama atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Twitter, Mac tahun itu.

Tiada ulasan: