Rabu, 7 April 2021

Anggota URB bongkar kegiatan syabu RM18.43 juta dinaikkan pangkat

Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SIMON Pasang Anak Kana (kanan) dan Muhamad Shahilmi Shahadan (kiri) menunjukkan pangkat yang diterima mereka atas kejayaan menumpaskan sindiket dadah dengan nilai rampasan lebih RM18 juta dalam majlis penyampaian pingat di Nibong Tebal, Pulau Pinang. -UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN

NIBONG TEBAL: Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah yang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai RM18.43 juta di Bukit Mertajam, di sini Februari lalu dinaikkan pangkat hari ini.

Koperal Simon Pasang Anak Kana, 33, dan Koperal Muhamad Shahilmi Shahadan, 30, menerima kenaikan pangkat Sarjan pada Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Kenaikan Pangkat Secara Medan di Jawi di sini.

Acara itu disempurnakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.

Menurut Zainal Abidin, penganugerahan itu diharapkan dapat menaikkan semangat anggota lain untuk menjalankan amanah dengan lebih baik sekali gus meningkatkan integriti pasukan beruniform.

“Sebenarnya, ramai pegawai dan anggota polis yang berkualiti dan memiliki semangat yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan dua anggota URB yang melakukan tugasan rondaan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama sejumlah syabu seberat 623.76 kilogram.

Kejadian itu disedari anggota berkenaan ketika mereka melihat tiga suspek sedang memunggah dadah dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV berdekatan sebuah kondominium kira-kira pukul 2 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: