Ahad, 4 April 2021

Lima geng curi durian tumpas

Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
JARING yang dipasang pemilik kebun durian bagi mengelak raja buah pecah apabila gugur turut menjadi sasaran geng curi durian di sekitar Jementah, Segamat, Johor.

SEGAMAT: Sekumpulan lima lelaki digelar Geng Curi Durian yang aktif melakukan jenayah mencuri raja buah jenis Musang King sejak setahun lalu tumpas setelah diberkas di beberapa lokasi sekitar Jementah, di sini Rabu lalu.

Dalam siri tangkapan bermula kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua suspek merupakan lelaki tempatan masing-masing berusia antara 24 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata, mereka ditahan susulan laporan yang dibuat pemilik kebun yang mendakwa sering kehilangan buah itu di kebun yang diusahakan mereka di sekitar Jementah.

Jelasnya, kegiatan mereka terbongkar hasil risikan pihak polis setelah menerima maklumat daripada orang awam yang curiga melihat kelibat suspek beberapa kali pada waktu tengah malam di kawasan kebun tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan curi buah durian jenis Musang King sejak awal tahun lalu.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan lokasi kebun durian terpencil, mereka akan petik buah yang matang dan peram di dalam semak sebelum masak seterusnya dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, selain itu mereka juga mencuri durian yang sudah gugur di dalam kebun yang dipasang jaring bagi mengelak buah pecah dan rosak dengan memotong jaring berkenaan.

Katanya, setiap buah durian yang dicuri itu dipercayai dijual di pasaran gelap kepada penggemar Musang King dengan harga bawah pasaran berbanding harga semasa RM90 sekilogram. UTUSAN

Tiada ulasan: