Ahad, 4 April 2021

10 premis loteri haram ‘bergelap’

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
PENGUAT KUASA TNB memotong bekalan elektrik di sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan menjual tiket loteri haram dan top up judi dalam talian. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Sebanyak 10 buah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual tiket loteri haram dan tambah nilai (top up) judi dalam talian, ‘bergelap’ selepas polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik bangunan tersebut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemotongan itu telah dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada Rabu lalu.

Beliau berkata, kawasan yang terlibat adalah di sekitar Kandang, Tiang Dua, Banda Hilir, Ayer Keroh, Malim dan Sungai Udang.

“Hasil risikan, kita telah mengenal pasti 10 premis yang dipercayai telah menjalankan kegiatan menjual tiket loteri haram dan top up judi dalam talian.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari BSJ IPD Melaka Tengah bersama-sama TNB negeri telah memotong bekalan elektrik dalam serbuan bermula pukul 10 pagi sehingga 4 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, premis-premis itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara tempoh satu hingga enam bulan.

“Tindakan ini dilaksanakan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang bertujuan untuk mengekang kegiatan perjudian haram supaya tidak boleh kembali beroperasi.

“Kesemua premis itu juga sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini mengikut Seksyen 4 (1) akta sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afzanizar menambah, sepanjang tempoh Januari sehingga Mac lalu, pihaknya telah mengambil tindakan pemotongan bekalan elektrik ke atas 19 buah premis yang menjalankan kegiatan sama.

Tegasnya, pihaknya berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan judi haram di lokasi berhampiran komuniti. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: