PUTRAJAYA: Program Rakalibrasi Pulang untuk pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka memberi hasil besar kepada kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sejak dilancarkan pada November tahun lalu, sejumlah 145,830 orang PATI sudah mendaftar untuk pulang ke negara masing-masing.
“Melalui program ini, kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM35.1 juta daripada hasil kompaun dan bayaran pas khas yang dikeluarkan ke atas mereka,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Imigresen Malaysia dan menyampaikannya kepada sejumlah 248 pegawai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sehingga 18 April lalu, seramai 72,324 PATI mendaftar untuk inisiatif itu manakala 73,506 PATI lagi mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang mana kedua-dua program itu diwujudkan khas antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan PATI.
Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diuruskan Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja manakala Program Rekalibrasi Pulang diuruskan Jabatan Imigresen sendiri.
“Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, pihak kerajaan bakal mengutip fi sebanyak RM1,500 bagi setiap warga asing yang layak diserap bekerja semula dengan majikan sama,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah keseluruhan pekerja yang diperakui berjaya menyertai program berkenaan kerana di bawah Kementerian Sumber Manusia. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan