Selasa, 20 April 2021

Dua lelaki ditahan jual pelbagai mercun

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
ANTARA mercun yang dirampas daripada dua lelaki dalam serbuan berasingan di Kampung Bukit Kuang di Kemaman, Terengganu, semalam.

KEMAMAN: Padah menjual dan memiliki pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM2,500, dua lelaki ditahan dalam dua serbuan di Kampung Bukit Kuang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 1.35 pagi membabitkan seorang pemandu jengkaut berusia 22 tahun di sebuah rumah kos rendah Bukit Kuang.

Katanya, pemeriksaan menjumpai 62 kotak dan sembilan peket plastik yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Lelaki kedua yang merupakan operator kilang berusia 24 tahun ditahan setengah jam kemudian di perumahan sama berdekatan dengan lokasi suspek pertama dan kita merampas 17 kotak dan lima paket plastik pelbagai jenis mercun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-kedua suspek mengaku mula menjual barang terlarang tersebut sehari sebelum Ramadan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: