Khamis, 8 April 2021

Johor rekod 95.6 peratus kes pulih Covid-19

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
R. VIDYANANTHAN

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan jumlah pesakit pulih Covid-19 sebanyak 95.6 peratus iaitu seramai 40,018 pesakit daripada jumlah kumulatif seramai 41,854 setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, 1,728 kes aktif ketika ini telah diasingkan dan sedang menerima rawatan sama ada di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau di rumah.

Menurut beliau, setakat 6 April juga, terdapat sejumlah 62 kluster aktif di negeri ini.

“Semalam, terdapat 98 kes baharu dilaporkan di mana 49 kes adalah daripada kluster aktif dan kluster baharu di negeri Johor. 

“Daripada 62 kluster aktif itu, 40 kluster atau 64.5 peratus adalah penularan dalam industri; 11 (17.7 peratus) di dalam komuniti; 6 (9.6 peratus) di dalam institusi; 1 (1.6 peratus) di pasar raya, 2 (3.2 peratus) kluster import melibatkan krew kapal dan 2 lagi (3.2 peratus) kluster melibatkan tahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu, seramai 39,081 anggota barisan hadapan telah diberi vaksin imunisasi Covid-19 dos satu dan 22,747 telah lengkap menerima 2 dos setakat 5 April.

“Pelaksanaan fasa satu dijangka selesai akhir bulan ini bagi memberi laluan kepada fasa kedua yang dijangka bermula selepas itu melibatkan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta bermasalah penyakit kronik.

“Sasaran liputan adalah sebanyak 70 peratus populasi Johor diberi vaksin Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok (herd imunity),” ujarnya.

Sehubungan itu, penduduk negeri ini disaran untuk melakukan pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera dengan segera bagi memastikan golongan berkelayakan diberi keutamaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: