Khamis, 8 April 2021

Jangan terpedaya penjualan nombor telefon khas

Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Orang ramai diminta jangan terpedaya terhadap aktiviti penipuan menerusi platform e-dagang membabitkan penjualan nombor telefon khas kononnya dikeluarkan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu baru-baru ini yang mendakwa membeli nombor telefon iaitu 010-9899999 selepas melihat iklan di Facebook.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi penjual dan membuat pembayaran, namun tidak menerima nombor dibeli manakala penjual dikatakan menghilangkan diri.

“Dalam usaha mencegah daripada penipuan seperti ini berleluasa, kita menggesa orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam transaksi jual beli secara dalam talian serta tidak mudah percaya tawaran jualan barang murah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, sebanyak 3,514 dan 5,847 kes membabitkan penipuan e-dagang masing-masing direkodkan pada 2019 serta tahun lalu manakala sebanyak 2,132 kes sama dicatatkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau menasihatkan orang awam untuk sentiasa menyemak ketulenan transaksi dan membuat pengesahan akaun menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule, selain memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian serta kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: