Sabtu, 3 April 2021

Hanya 3.5% penerima vaksin Covid-19 alami kesan sampingan

WALAUPUN sering ‘dimomokkan’ kononnya vaksin Covid-19 boleh memberi kesan sampingan bersifat kekal kepada penerima, namun fakta membuktikan hanya kira-kira 3.5 peratus atau 25,770 daripada 740,226 penerima di negara ini mengalami kesan sampingan.

Daripada jumlah tersebut pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan sebanyak 99.5 peratus atau 25,641 penerima vaksin mengalami kesan sampingan bersifat ringan.

Kata Adham, hanya segelintir daripada jumlah tersebut memerlukan pemeriksaan lanjut dan dimasukkan ke wad tetapi telah sihat.

“Kesan sampingan yang dipantau sejak daripada permulaan pemberian vaksin Covid-19 adalah meliputi kesan ringan dan kesan serius selepas menerima vaksinasi.

“Antara kesan-kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan.

“Bagi kesan lebih teruk adalah bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa di bahagian dada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Covid-19 di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), hari ini.

Baca artikel berkaitan: Hampir suku juta sudah lengkap dua dos vaksin – Dr Adham

Seramai 241,758 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Bagi tempoh sama, 498,468 individu telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 740,226.

Menerusi infografik yang dikongsikan Dr. Adham dalam laman Twitter miliknya hari ini, Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 69,852, diikuti Perak (49,996) dan Sarawak (48,079).

Sabah pula merekodkan sebanyak 46,023, Kuala Lumpur (44,702), Johor (39,624), Pahang (33,693), Pulau Pinang (33,045), Kedah (30,316), Negeri Sembilan (24,690), Terengganu (24,516), Kelantan (22,596), Melaka (13,758), Perlis (9,846), Putrajaya (5,233) dan Labuan (2,499).

Sementara itu, Selangor turut mencatat jumlah individu teramai telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 iaitu 28,616, diikuti Sarawak (25,287) dan Kuala Lumpur (23,899).

Tiada ulasan: