Sabtu, 3 April 2021

Datuk Seri Nicky terlepas sebab maklumat operasi bocor, pegawai terlibat dikenal pasti – Ayob Khan

ayob khan
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek Datuk Seri Nicky Liow yang sedang diburu./ Gambar FB Polis Johor

KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Ali Pitchay berkata beliau tidak akan melepaskan anggota atau pegawai polis yang bersekongkol dengan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee sehingga menyebabkan ahli perniagaan itu terlepas dalam operasi yang diadakan oleh polis.

Beliau berkata, kebocoran itu berlaku seminggu sebelum operasi Op Pelican dijalankan oleh pasukan polis diketuai Kontinjen Johor dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membolehkan suspek melakukan perancangan melarikan diri dan membawa sejumlah wang tunai bersamanya.

“Datuk Seri Nicky ni memang mempunyai hubungan rangkaian yang luas (dengan pihak berkuasa) kerana setiap maklumat akan sampai kepadanya apabila ada sahaja laporan polis dibuat atau ada pihak yang bertanya mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu suspek mengetahui mengenai operasi yang hendak dijalankan oleh pasukannya kerana mereka perlu membuat laporan polis sebelum menjalankan sesuatu operasi atau siasatan.

“Saya akan cari hingga ke lubang cacing mereka ini..saya tidak akan lepaskan.. walau apa pangkat dan kedudukan mereka.. di mana mereka diletakkan..sama ada pegawai polis anggota biasa, atau juga pegawai di agensi penguat kuasa yang lain.

“Kita akan cari dan tuduh.. ini jaminan saya,” katanya kepada wartawan Malaysia Gazzette dalam wawancara bersama portal berita itu yang disiarkan hari ini.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Ayob Khan berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap semua mereka yang benar-benar terlibat tidak lama lagi dan kini siasatan terperinci dipastikan agar apabila ditahan, mereka boleh didakwa dan disabitkan kesalahan.

BERITA BERKAITAN 118 Geng Nicky ditahan, Polis masih buru Datuk Seri Nicky

Katanya, daripada 34 penguat kuasa yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini itu, majoritinya adalah pegawai dan anggota polis dan siasatan mengenai mereka sedang diperkemaskan dengan bukti-bukti kukuh agar mereka tidak terlepas apabila dihadapkan ke mahkamah nanti.

“Saya nak pastikan meraka disabit dengan siasatan terperinci, kita tunggu masa sahaja untuk tangkap dan tuduh (penguat kuasa tersebut),” katanya

Format yang sama akan digunakan dalam operasi PATI yang dijalankan oleh polis dengan kerjasama pelbagai agensi baru-baru ini apabila semua 24 penguat kuasa yang terlibat bersekongkol dengan penjenayah dihadapkan ke mahkamah.

Ditanya mengapa operasi ‘Geng Nicky’ ini dijalankan oleh Polis Johor memandangkan pusat operasi kegiatan jenayah itu adalah di Puchong, Selangor, Ayob Khan berkata, kes itu bermula apabila pegawainya menjalankan siasatan satu kes penipuan jualan telefon bimbit di dalam talian di Johor.

“Hasil siasatan ke atas akaun bank yang digunakan untuk transaksi didapati mempunyai kaitan dengan syarikat berkaitan Nicky Liow yang sebelum ini juga mempunyai lapan kes siasatan di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau kemudiannya meminta kebenaran daripada Ketua Polis Negara untuk menjalankan siasatan kes ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kesalahan jenayah terancang bagi membolehkan aktiviti penipuan ‘scammer’ atau pengubahan wang haram sindiket ini dihapuskan terus.

Tiada ulasan: