Khamis, 22 April 2021

2,195 laman sesawang promosi judi ‘online’ disekat: MCMC

Athirah Huda Zalhe

19,765 talian telefon ditamatkan kerana spam SMS, pinjaman tak berlesen

BANGI – Sebanyak 2,195 laman sesawang yang didapati mempromosikan judi dalam talian telah disekat setakat bulan Mac 2021, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, tindakan itu berdasarkan kepada permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, selain maklumat daripada orang awam.

Katanya, MCMC turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian mengikut perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.

“Daripada aspek penguatkuasaan pula, MCMC telah menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

“Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah tidak terhad kepada penipuan dan mempromosi judi dalam talian,” katanya.

MCMC berkata, sehingga bulan Mac 2021, sejumlah 19,765 talian telefon telah ditamatkan atas kesalahan spam SMS yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

“Selain tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, perkara yang turut diberikan keutamaan oleh MCMC ialah usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti yang salah di sisi undang-undang, termasuklah kegiatan judi dalam talian.

“Antaranya, program-program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara serta melalui hebahan media massa bagi memupuk kesedaran dan kewaspadaan orang ramai termasuklah golongan muda dan kanak-kanak agar mereka tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian,” katanya.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan sedemikian kepada orang lain kerana perbuatan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam mempromosikan perjudian dalam talian.

Pengguna turut digesa melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa sebarang kandungan yang mempromosikan perjudian dalam talian untuk tindakan selanjutnya, kata suruhanjaya itu.

Tiada ulasan: