Sabtu, 24 April 2021

159 ditahan ingkar SOP

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam turun lagi dengan hanya 159 individu dicekup dengan 140 dikompaun manakala 19 direman dengan kesalahan tertinggi ialah tidak mendaftar masuk premis sebanyak 62 kes.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini diikuti dengan pelbagai kesalahan lazim lain iaitu gagal memakai pelitup muka (39), tiada pematuhan jarak fizikal (10) dan lain-lain lagi (48).

“Seramai 56 orang pendatang asing tanpa izin turut ditahan melalui Operasi Benteng, selain sebanyak 99 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Menyentuh isu kuarantin wajib, beliau berkata, seramai 961 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin dengan sejumlah 6,934 individu terbabit masih lagi menjalani proses itu.

Katanya, seramai 1,590 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 174,237 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula melakukan sejumlah 2,122 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya empat premis yang diberikan nasihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: