Isnin, 8 Mac 2021

Timbalan menteri pernah dihambur kata-kata kesat

HARAKAH DAILY
 

KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mendedahkan beliau beliau pernah dihambur kata-kata kesat ketika mengajak masyarakat membantu kerajaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, bukan sedikit kata-kata kesat seperti yang perlu diterimanya sebelum ini.

“Saya dianggap sebagai musuh Islam, bawa agenda Yahudi, mesti dipecat dan jatuhkan dalam PAS kerana merosakkan perjuangan PAS yang perjuangkan Islam.

“Ada yang terus cop saya sebagai dajal, illuminati, anti sunnah Rasulullah SAW. Sebahagian yang menyerang bukan orang lain. Kawan-kawan dan ada yang sangat rapat.

“Ramai yang nasihatkan saya jangan teruskan yang vaksin tu.. Nanti enta jatuh,” katanya pada lontaran di laman sosialnya.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dilantik kerajaan sebagai Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi program terbabit Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini memberitahu kerajaan menanggung RM77.35 bagi setiap rakyat Malaysia yang disuntik vaksin.

Pemberian secara percuma itu meliputi 82.8 peratus populasi atau 26.5 juta rakyat negara ini membabitkan kos keseluruhan RM2.05 bilion.

Ahmad Amzad juga berkata, beliau dipertanggungjawabkan membantu usaha menyelamatkan negara melalui Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan memberi kefahaman kepada rakyat tentang vaksin Covid-19.

“Jika diminta saya memilih antara menyatakan kebenaran dan pelihara pangkat dan jawatan. Saya pilih menyatakan kebenaran,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur apabila semakin ramai rakyat faham dan menyokong usaha tersebut.

“Usah keluh kesah. Teruskan nyatakan apa yang benar. Sambil jangan lupa bermuhasabah. Berubah jadi lebih baik lah. Bukan berubah jadi rimau akor.

“Kita bukanlah maksum tak pernah buat salah. Yang penting kita usaha gigih lagi jadi lebih baik dan berubah. Orang harapkan PAS jadi baik. Kalau boleh jadi baik macam Nabi,” ujarnya. HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: