BALING: Seorang pemandu jengkaut maut akibat tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di belakang sebuah rumah di Kampung Ulu Tawar, Malau, di sini, petang tadi.
Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku selepas mangsa, Muhammad Firdaus Adnan, 20, melakukan kerja-kerja mengorek tebing bukit dan meratakan tanah dengan menggunakan jentera tersebut di tempat kejadian pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut itu telah mengorek tebing bukit seorang diri.
“Ketika melakukan kerja-kerja menggorek tebing bukit dan meratakan tanah itu, dipercayai mangsa telah turun dari jentera tersebut untuk membuang air kecil.
“Ketika itu, tanah tebing yang dikoreknya itu telah runtuh dan menghempap mangsa, akibatnya mangsa tercampak ke jentera tersebut dan terdapat kesan luka pada badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Difahamkan kerja-kerja mengorek tebing bukit dan meratakan tanah itu dilakukan untuk dijadikan tapak rumah.
Katanya lagi, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan kesan-kesan luka pada tubuh badan mangsa adalah akibat daripada kejadian runtuhan tanah tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.10 petang dan kemudian dibawa ke Hospital Daerah Kulim untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan