Isnin, 29 Mac 2021

Melecur disambar api ketuhar

Oleh NOR AINNA HAMZAH
Muizzu Mohd. Noor menunjukkan kesan kecederaan melecur di bahagian muka dan kepala selepas disambar api dari dalam ketuhar ketika kejadian di pekan Pedas pada 24 Mac lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

REMBAU: Seorang peniaga nasi ayam berdepan detik cemas apabila disambar api sehingga mencederakan bahagian muka, kepala dan tangan kanannya dalam kejadian di pekan Pedas, dekat sini, 24 Mac lalu.

Mangsa, Muhammad Muizzu Mohd Noor, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang menyiapkan pesanan dan melayan kedatangan pelanggan di kedainya yang baharu beroperasi pada bulan Februari lalu.

Jelasnya, dia baharu sahaja membeli ketuhar berkenaan dan tidak menyangka akan berhadapan dengan detik cemas itu.

“Ia kali kedua saya gunakan ketuhar yang sama untuk memanggang ayam. Hari pertama iaitu sehari sebelum kejadian, ayam dimasak dengan sempurna.

“Keesokan harinya ayam kurang masak walaupun saya menggunakan suhu dan masa yang sama. Saya cuba membetulkannya di bahagian pemutar ketuhar, namun tiba-tiba api daripada dalam ketuhar menolak pintu dan menyambar bahagian muka saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Desa Permai Pedas, di sini hari ini.

Muhammad Muizzu berkata, susulan kejadian berkenaan dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Pedas bagi menuntut hak sebagai pengguna dan diberikan pampasan ketuhar yang berfungsi dengan baik.

“Selepas disambar api saya terus mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pedas sebelum dirujuk ke Hospital Rembau akibat keadaan melecur yang memberi kesan sakit dan pedas di bahagian muka.

“Rambut saya terbakar dan terpaksa dibotakkan di bahagian hadapan. Sehingga ke hari ini, rasa sakit dan pedih tidak hilang,” katanya.

Menurutnya lagi, dia kini terpaksa menutup perniagaan buat sementara waktu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: