Ahad, 28 Mac 2021

Perhimpunan Undi18: Polis buka kertas siasatan

 Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan ke atas perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkaitan undi 18 tahun yang diadakan di Jalan Parlimen, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataan berkata, siasatan tersebut dilakukan susulan perhimpunan yang diadakan oleh sekumpulan pemuda dari Pakatan Harapan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Padang Merbok dan berarak menuju ke Jalan Parlimen.

Justeru, kata beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

“Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

“Yang mana apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah boleh diambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Kata Mohamad Zainal, kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Ujar beliau, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan.

“Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, ujar Mohamad Zainal, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: