Pelihara kebajikan wanita, bukan hidupkan industri pelacuran
BANGI – Kumpulan hak asasi manusia dianggap hipokrit kerana didakwa mempertahankan hak asasi pekerja seks yang menyalahi undang-undang.
Ini kerana pemeliharaan hak asasi wanita yang syumul bukanlah dengan mengayakan industri pelacuran dan memberi upah yang tetap kepada pelacur, sebaliknya memelihara kebajikan wanita supaya mereka mampu menyara diri dalam keadaan terhormat.
Menegaskan perkara itu, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, betapa hipokritnya golongan hak asasi manusia yang bertuhankan Barat kononnya memperjuangkan hak asasi wanita, hakikatnya hanya menjadikan wanita medium pemuas nafsu lelaki durjana.
“Lelaki yang mendatangi pelacur hakikatnya bukan lelaki yang baik. Perbuatan hubungan seks telah digariskan sebagai satu perbuatan yang perlu dilakukan dengan rasa penuh tanggungjawab selain mendapat keseronokan jiwa.
“Oleh yang demikian, Islam dan agama lain telah menggariskan bahawa berjimak hanyalah dibenarkan untuk pasangan yang telah berkahwin bagi mengelakkan pelbagai masalah yang timbul daripada penzinaan yang berleluasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ustazah Suriani menegaskan bukanlah jalan terakhir bagi wanita yang terdesak untuk menjaja tubuhnya kepada lelaki yang penuh hawa nafsu demi sesuap nasi.
“Banyak lagi pintu rezeki lain yang halal dan baik untuk mereka terokai.
“Islam mengharamkan perbuatan itu dan menghukum mereka yang berzina dengan 100 kali sebatan atau rejam sehingga mati,” katanya.
Bahkan tegas beliau Islam menjaga martabat wanita serta melindungi mereka.
“Islam melindungi wanita dengan meletakkan bapanya sebagai wali yang bertanggungjawab untuk menikahkannya, supaya tidak semudah-mudahnya mana-mana lelaki datang berkahwin seterusnya tidak menjalankan tugasan dan tanggungjawab sebagai suami.
“Islam melindungi wanita dengan menetapkan bapanya sebagai wali dan sekiranya tiada bapa, maka abang kandungnya, dan sekiranya tiada abang kandung, saudara kandung lelaki yang lain.
“Sekiranya tiada semua itu, kerajaanlah yang bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesejahteraan seorang wanita dalam negara tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan