Ahad, 28 Mac 2021

Kalimah Allah: 18 NGO Islam Melaka serah memorandum bantahan esok

Siti Fatimah

Syor MAIM mohon kebenaran mencelah dalam prosiding rayuan

BANGI – Satu memorandum bantahan akan diserahkan gabungan NGO-NGO Islam negeri Melaka esok, berhubung isu penggunaan kalimah Allah di dalam bahan terbitan orang bukan Islam.

Memorandum yang diwakili 18 NGO Islam itu akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) jam 12 tengah hari.

Penyerahan itu akan diwakili Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman.

Memorandum yang mengemukakan tujuh cadangan itu antaranya mengesyorkan MAIM memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran mencelah dalam prosiding rayuan kes kalimah Allah serta melantik peguam berkaliber mewakili majlis itu.

“Menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bagi mengkaji semua undang-undang sama ada Perlembagaan Persekutuan atau pun undang-undang Syariah dalam negeri Melaka supaya dipinda dan tidak memberi ruang kepada sebarang cabaran pada masa akan datang seterusnya menjamin keabsahan Islam.

“Bekerjasama rapat dan berganding bahu dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, mufti-mufti dan entiti agama di negeri lain bagi tujuan mempertahankan perundangan Syariah dan mahkamah Syariah,” menurut memorandum.

Selain itu, gabungan NGO berkenaan turut mencadangkan Komiti Permuafakatan NGO Islam (KPNI) diwujudkan sebagai medium perbincangan serta pemerkasaan umat Islam di negeri Melaka.

MAIM juga disaran menubuhkan jawatankuasa bertindak segera yang memberi fokus kepada sebarang bentuk ancaman, perancangan dan tindakan agresif pihak tertentu untuk melemahkan kedudukan Islam.

“Memohon pihak MAIM menjalankan tugas proaktif membuat penjelasan atau kenyataan umum tentang isu kalimah Allah serta menghebahkan fatwa-fatwa kerajaan negeri sedia ada berkenaan isu tersebut.

“Bekerjasama erat dengan NGO Islam serta membuka ruang dialog pada kekerapan tertentu agar mendapat maklum balas lebih tepat dan pantas daripada penggerak-penggerak di lapangan,” katanya.

Selain ISMA, memorandum itu turut disertai Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan Persatuan India Muslim Melaka (PIMM).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lalu.

Tiada ulasan: