Pelbagai prosedur perlu dilalui sebelum perkara itu dapat dilaksanakan, termasuk melibatkan urusan dengan JPN.
Semua pihak diminta memberikan masa serta ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata pelbagai prosedur perlu dilalui sebelum perkara itu dapat dilaksanakan, termasuk melibatkan urusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Bukan mudah (nak laksana undi 18) banyak perkara kena diambil kira… antara masalah dihadapi SPR alamat dah selesai belum, itu kena tanya JPN, selagi tak selesai alamat lengkap takut ada yang tidak boleh mengundi sebab tak tahu nak mengundi kat mana.
“Berdasarkan alamat dalam kad pengenalan, SPR akan menentukan di mana dia (pengundi) akan mengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN) mana, Parlimen mana,” katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains MARA Pendang, di Pendang hari ini.
Beliau berkata SPR merupakan satu badan bebas yang tidak terikat dengan pihak kerajaan, justeru setiap keputusan yang dibuat tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Takiyuddin berkata ketika isu undi 18 mula dibangkitkan, pada masa itu tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakan perkara tersebut.
“Jadi sekarang ada dua tahun lagi… Bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN), perdana menteri dah jelaskan kerajaan tidak anti undi 18.
“Kami dulu pembangkang, kami pun sokong undi 18, tapi dengan syarat pendaftaran mestilah secara automatik, kalau tidak jumlah individu layak mengundi tidak mendaftar akan bertambah sebab umur 21 pun empat juta tak mendaftar,” katanya.
Khamis lepas, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Kenyataan itu dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk ada yang menganggap penangguhan berkenaan tidak munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan