Ahad, 28 Mac 2021

Estet ikan tambah pengeluaran ikan negara

HARAKAH DAILY
Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Projek estet ikan di Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah, Pengkalan Chepa yang mula dilaksanakan tahun lalu, kini telah membuahkan hasil.

Malah, projek estes ikan berkenaan juga antara usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi menambah pengeluaran ikan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek itu merupakan yang pertama di Kelantan dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, tahun lalu sebanyak 3,000 benih ikan telah dilepaskan ke dalam estet ikan berkenaan yang mempunyai keluasan 1.62 hektar.

“Kini kita sudah mempunyai 11 estet ikan di seluruh negara, bagaimanapun ianya adalah estet ikan air tawar.

“Bagaimanapun di sini adalah estet ikan air payau,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada peserta terutama komuniti dan Anggota Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman yang telah berusaha sehingga program berkenaan berjaya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang tuai hasil estet ikan di tasek Masjid Ar-Rahman, semalam.

Selain projek perikanan, masjid berkenaan juga turut mencetuskan idea agro pelancongan bagi meningkatkan pendapatan tidak langsung kepada tabung masjid tersebut.

Sempena program tersebut, dijangka melalui kaedah pertandingan memancing, orang ramai berpeluang menderma kepada masjid tersebut. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: