Jumaat, 26 Mac 2021

PTK Maritim Malaysia dikerah usir kapal degil berlabuh secara haram

GAMBAR FAIL merakamkan anggota Maritim Malaysia menaiki sebuah kapal berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara. Foto MARITIM MALAYSIA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mula menggerakkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) badan itu dalam usaha mengusir kapal kargo, kapal tangki dan kapal persiaran yang berlabuh secara haram di sekitar perairan Johor.

Langkah itu dibuat berikutan Operasi Khas Jangkar Haram yang dilancarkan Maritim Malaysia pada 24 Mac lalu bagi membanteras aktiviti kapal-kapal dagang bersauh Timur tanpa kebenaran di perairan Johor timur. 

“Operasi ini diwujudkan kerana pihak penguat kuasa  telah menerima aduan lebih 100 kapal yang bersauh tanpa kebenaran baru-baru ini.

“Maritim Malaysia kini mensasarkan lima buah kapal ditahan setiap hari dan bermula hari ini PTK akan diturunkan menggunakan pesawat udara Maritim Malaysia sekiranya mereka berdegil untuk keluar dalam tempoh masa yang diberikan,” kata Maritim Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

PTK ditubuhkan pada 2005.

Untuk rekod sejak 2017, sebanyak 173 kapal dagang berjaya ditahan dan sebanyak RM 11,480 200.00 denda, dikenakan terhadap kapal-kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran. 

Kesemua kapal yang ditahan akan dihadapkan ke mahkahmah dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia. 

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah kenyataan itu.

Tiada ulasan: