Ahad, 28 Mac 2021

PDRM usaha ekstradisi tiga warga Thailand ke Malaysia

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Seorang anggota PGA, Koperal Judin Awi menunjukkan lokasi pertempuran antara polis dan penyeludup hingga mengakibatkan Baharuddin mati ditembak, manakala Norihan cedera parah di kawasan hutan berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Baru-baru ini.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha untuk mengekstradisi tiga individu warganegara Thailand yang merupakan suspek utama dalam kejadian serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis November tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, usaha tersebut adalah bagi menangkap ketiga-tiga individu terbabit serta didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Menteri di Kementerian Dalam Negeri telahpun menandatangani permohonan ekstradisi baru-baru ini selaras dengan hubungan Malaysia dan Thailand melalui triti yang telah dimeterai di Bangkok pada 4 Mac 1911 iaitu ‘Treaty Between The United Kingdom And Siam Respecting The Extradition Of Fugutive Criminals’.

“Setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Oktober 1959 triti ini telah dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi di antara Malaysia dan Thailand,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, PDRM komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapat dibawa ke Malaysia agar proses undang-undang dapat dilaksanakan.

Terdahulu, pada 24 November tahun lalu, seorang anggota (PGA) maut manakala seorang lagi parah selepas berbalas tembakan dengan sindiket yang dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan sewaktu bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar Perlis.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah dan dilaporkan kritikal.-K! ONLINE

Tiada ulasan: