Rabu, 31 Mac 2021

Pasangan kekasih remaja ditahan buang bayi baru lahir

Siti Hafidah

Suspek ambil semula bayi selepas buang di kawasan semak

MELAKA – Pasangan kekasih berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes buang bayi lelaki mereka yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya di semak berhampiran kawasan kilang di Telok Mas di sini, kelmarin.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, remaja perempuan ditahan hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Melaka kerana pendarahan selepas melahirkan bayi tersebut manakala pasangannya ditahan di pekarangan hospital berkenaan pada jam 11 malam, Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek wanita tersebut melahirkan bayi berkenaan dalam keadaan masih hidup dan disambut teman lelakinya di rumah lelaki berkenaan di Taman Telok Mas di sini, kira-kira 12 tengah malam Ahad lalu.

“Lelaki berkenaan telah memasukkan bayi berkenaan ke dalam satu kotak plastik sebelum dibungkus dalam plastik hitam sebaik dilahirkan untuk dibuang di kawasan semak.

“Bagaimanapun bayi itu kemudian telah diambil semula oleh suspek lelaki itu dan menyerahkannya kepada pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi malang berkenaan akan dibedah siasat kira-kira jam 9 pagi esok bagi mengesan punca sebenar kematian.

Katanya, pasangan kekasih itu pula direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

“Polis Melaka sentiasa memandang serius kes jenayah terutamanya melibatkan kes buang bayi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah terbabit,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: