Rabu, 31 Mac 2021

Malaysia terima vaksin AstraZeneca Jun ini

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR 

KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima penghantaran pertama membabitkan 600,000 dos vaksin jenis AstraZeneca bermula Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Kolaborasi Korporat PICK, di sini hari ini.

Khairy berkata, beliau mendapat maklumat terkini mengenai jadual penghantaran vaksin itu menerusi AstraZeneca Malaysia.

“Saya baharu sahaja dimaklumkan bahawa penghantaran pertama AstraZeneca akan tiba pada Jun dan penghantaran seterusnya setiap bulan,” katanya.

Berhubung isu penangguhan eksport vaksin AstraZeneca oleh India, Khairy berkata, ia tidak menjejaskan penghantaran ke negara ini memandangkan Malaysia bergantung kepada pengeluar vaksin itu di Korea Selatan.

“Buat masa ini, Malaysia berhubung terus dengan pengilang vaksin AstraZeneca iaitu SK Bioscience di Korea Selatan bukannya Serum Institute of India (SII) di India,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau percaya lebih ramai masyarakat akan mendaftar menerusi PICK sebaik fasa kedua program vaksinasi kebangsaan itu bermula 19 April ini.

beliau mengakui ada segelintir masyarakat khuatir dengan kesan sampingan vaksin namun, percaya ia akan dapat diatasi menerusi pelbagai program bersemuka dan komunikasi.

“Buat masa ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang melatih lebih ramai sukarelawan supaya dapat berkongsi maklumat tepat mengenai program vaksinasi.

“Fasa pertama PICK akan berakhir tidak lama lagi dan ia hanya membabitkan barisan hadapan bukannya membabitkan orang awam secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya, setiap vaksin ada kesan sampingan seperti demam namun, apabila orang ramai mula sedar tiada kesan serius seperti kecacatan kekal dan kematian maka, lebih ramai akan tampil untuk mendaftar. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: