Sabtu, 27 Mac 2021

Bekas PM, TPM terpalit rasuah, siapa orang di belakang tadbir negara?

Athirah Huda Zalhe

Tak hairan salah laku jadi barah dalam kerajaan, penjawat awam: Aminuddin

BANGI – Malangnya buat Malaysia apabila dua bekas pemimpin tertinggi negara – Perdana Menteri dan timbalan – terpalit dengan skandal rasuah serta salah guna kuasa.

Maka, tidak hairanlah gejala rasuah dan salah laku menjadi ‘barah’ bukan hanya di pihak kerajaan serta penjawat awam, bahkan juga institusi yang bertanggungjawab memelihara keamanan seperti polis, imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, lebih menakutkan apabila sistem kehakiman juga pernah ditangkap terbabit dengan amalan berkenaan.

“Saya melihat ianya sesuatu yang serius dan perlukan ada satu noktah. Mustahil untuk menghapuskannya tetapi bagaimana kita boleh mengurangkan gejala itu daripada merebak dan sistem pentadbiran dan keselamatan negara.

“Dan apabila pendedahan dibuat KPN mengenai kartel dalam PDRM, pada saya ia membimbangkan dan bahaya kerana melibatkan institusi keselamatan yang menjadi benteng kepada negara,” katanya dalam Forum YB di TV Pertiwi, malam ini.

Aminuddin mengakui pemerintahan yang terlalu panjang oleh UMNO menjadi antara faktor membawa kepada berlakunya amalan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin kerajaan.

“Mungkin peringkat awal ramai pemimpinnya ikhlas bekerja, tetapi apabila kenikmatan makin banyak dan kedudukan makin kuat, maka mereka berdepan cabaran kemewahan, kewangan dan sebagainya.

“Maka, kecenderungan untuk mereka terbabit dengan rasuah dan salah laku itu besar, seperti yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, skandal yang terpalit ke atas dua pemimpin tertinggi negara itu menggambarkan kebobrokan sistem politik hari ini, sehingga menimbulkan persoalan siapa yang mentadbir Malaysia.

“Adakah politik atau orang di belakangnya? Sebab itu kami NGO cukup terkilan dan tidak tahu apa penyelesaian apabila setiap kali memorandum kita, kenyataan dan keputusan mahkamah dikeluarkan semua tidak menyebelahi Islam dan Melayu.

“Saya rasa ada salah guna kuasa berlaku menyebabkan isu-isu penting umat Islam tidak terbela. Inilah yang membimbangkan kita dan rakyat,” katanya.

 

Tiada ulasan: