Isnin, 29 Mac 2021

i-Guru gesa kerajaan utamakan guru dalam Vaksinasi Fasa 2

fazleensafina

Perlu diperluas juga di sekolah yang guna pakai kurikulum KPM

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa kerajaan terus mengutamakan warga guru dalam program Vaksinasi Fasa 2.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, keutamaan itu perlu diberi disebabkan guru adalah petugas barisan hadapan utama dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, keselamatan dan kesihatan warga guru akan menjamin kelancaran sesi persekolahan dan menjamin murid-murid sentiasa dalam keadaan selamat.

“Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat 41 kluster jangkitan adalah dari institusi pendidikan sejak Januari yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Ustaz Mohd Azizee berkata, pihaknya turut menggesa suntikan vaksin tidak hanya terhad kepada warga guru yang bertugas di sekolah-sekolah KPM.

Sebaliknya, katanya, ia perlu diperluaskan kepada sekolah-sekolah yang mengguna pakai kurikulum KPM seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kolej Genius, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah swasta dan tahfiz yang berdaftar di bawah KPM.

“Hal ini penting memandangkan sesi pembukaan persekolahan di awal April nanti melibatkan pelajar- pelajar tingkatan 1 hingga 5 sesi 2021,” katanya.

Jelasnya, langkah memperluaskan program vaksinasi akan mengurangkan risiko keciciran murid dan penutupan sekolah jika berlaku sebarang jangkitan.

“iGuru berharap keprihatinan pihak kerajaan tentang hal ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk melihat persekitaran institusi pendidikan menjadi lebih selamat dan masa depan pendidikan negara menjadi lebih baik,” katanya.

Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik akan bermula 19 April ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka yang tersenarai akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 5 April ini atau dua minggu sebelum tempoh suntikan.

“Kita akan mulakan fasa ini pada 19 April dan akan mula beri temujanji kepada mereka yang terpilih mulai 5 April ini.

“Kita akan bagi notis dua minggu sebelum temujanji. Keutamaan diberikan kepada golongan warga emas, OKU dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.

Tiada ulasan: