Isnin, 8 Mac 2021

Beri vaksin berdasarkan ‘tiba dulu, layan dulu,’ kata Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata orang ramai tidak patut 
menunggu sehingga fasa 2 bermula untuk mendaftar.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, vaksin Covid-19 patut diberikan secara “tiba dulu, layan dulu” bagi menggalakan lebih ramai orang menyertai program vaksinasi.

Katanya, walaupun kira-kira 3 juta orang di seluruh negara mendaftar untuk vaksin itu dalam minggu pertama, jumlah di Pulau Pinang masih agak kurang.

Sehingga 4 Mac, hanya 113,672 atau 10% daripada 1.3 juta penduduk yang disasarkan di negeri itu mendaftar, dan sehingga semalam, 5,072 petugas barisan hadapan disuntik vaksin bagi fasa pertama.

Ada kira-kira 1.77 juta penduduk di negeri itu.

“Saya telah melihat laporan berita mengenai kekurangan respons terhadap pendaftaran untuk vaksin itu. Saya gesa semua warga Pulau Pinang supaya tidak menunggu sehingga fasa kedua untuk mendaftar, supaya boleh menerima vaksin lebih cepat.

“Saya tidak pasti mengenai jadual vaksinasi, namun berharap ia akan dilakukan bagi mereka yang mendaftar awal sebagai galakan untuk orang lain juga berbuat demikian. Lebih cepat kita mencapai imuniti kelompok, lebih baik,” katanya.

Chow, individu pertama mendapat vaksin itu di Pulau Pinang pada 22 Feb berkata, beliau tidak mengalami kesan sampingan kecuali sedikit rasa sakit di tempat suntikan yang reda beberapa hari kemudian. Beliau bakal menerima dos keduanya, minggu depan.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira tiga juta orang sudah mendaftar untuk vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera, iaitu satu daripada lima cara yang boleh digunakan untuk pendaftaran.

Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 991,181 orang, disusuli Johor (335,537), Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak (240,630).

Orang ramai juga boleh mendaftar menerusi www.vaksincovid.gov.my. Bagi pendaftaran luar talian, mereka boleh menghubungi talian hotline yang akan diumumkan tidak lama lagi; pergi ke kemudahan kesihatan am atau swasta berdekatan; atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Tiada ulasan: