Isnin, 29 Mac 2021

4 Adun boikot sesi bersama k'jaan P Pinang lepas dinafikan peruntukan

Malaysiakini

Sejumlah empat Adun pembangkang Pulau Pinang memboikot sesi libat urus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dengan wakil rakyat yang diadakan hari ini dan esok.

Mereka ialah Adun daripada Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata langkah itu ekoran tindakan kerajaan negeri menarik balik peruntukan terhadap Adun pembangkang.

"Kerajaan Pulau Pinang telah menarik balik peruntukan yang diluluskan pada 20 Januari lalu kepada Adun pembangkang berjumlah RM60,000, menerusi surat bertarikh 19 Februari lalu.

"Kami mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik di saat majoriti rakyat masih lagi berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi," kata mereka.

Mereka berkata, peruntukan tersebut amat penting bagi melaksanakan projek infrastruktur di DUN mereka tetapi kerajaan negeri memilih untuk bermain politik dan tidak profesional.

"Kami Adun pembangkang akan tetap meneruskan khidmat kami dan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lebih prihatin dan tidak memilih bulu dalam melaksanakan segala program dan aktiviti berkaitan rakyat," kata mereka lagi.

Afif dan Zulkifli pada asalnya merupakan anggota PKR tetapi telah dipecat daripada parti pada Jun 2020 selepas menyokong PN. Afif kini menganggotai Bersatu manakala Zulkifli menjadi Adun bebas yang menyokong PN.

Khaliq dan Zolkifly pula merupakan Adun Bersatu yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pada Mei 2020.

'Bukan semua adun pembangkang'

Dalam respons segera, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata bukan semua Adun pembangkang dinafikan peruntukan tersebut.

Katanya, Adun pembangkang daripada Umno dan PAS, iaitu Md Yusoff Md Noor (Sungai Dua), Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan) dan Md Yusni Mat Piah (Penaga), tetap menerima peruntukan itu.

Mereka juga hadir ke sesi libat urus hari ini.

"Empat Adun ini mengkhianati mandat rakyat dengan melompat dan oleh itu, tidak wajar merungut.

"Ini hanyalah publisiti murahan. Mereka patut datang sesi libat urus dan bangkitkan perkara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Ramasamy, Majlis PH Pulau Pinang memutuskan untuk menarika balik peruntukan terhadap Adun yang menukar sokongan.

Katanya, peruntukan di kawasan tersebut disalurkan menerusi program "adun angkat" yang diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada 27 Mei tahun lalu.

"Peruntukan kawasan mereka akan disalurkan menerusi 'adun angkat', iaitu Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik bagi DUN Teluk Bahang, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Bertam) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (Seberang Jaya)," kata Chow ketika itu.

Difahamkan Adun Bukit Tambun daripada PKR Goh Choon Aik kemudian dilantik menjadi 'adun angkat' bagi Sungai Acheh.

Tiada ulasan: