Ahad, 28 Mac 2021

Johari: Kepala otak dia pelaburan boleh selektif

Malaysiakini

Bekas Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani membidas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bahawa negara bersikap "lebih selektif" dalam menarik pelaburan asing.

"Ada seorang menteri ini lagi dahsyat (kata pelaburan) jatuh sebab kita selektif. Kepala otak dia pelaburan ada (boleh) selektif," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, kenyataan Azmin itu seolah-olah syarikat multinasional (MNC) ternama seperti Tesla, Amazon dan Apple ada membuat pelaburan di Malaysia.

"Apa yang saya tak boleh tahan, IBM kata nak tutup bulan Mei dan kilang Sony di Pulau Pinang pun tutup...Tiada orang pergi jumpa dan bincang (dengan mereka)," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Katanya, mesti ada sebab untuk syarikat tersebut menghentikan operasinya di negara ini.

Johari mengulas laporan Azmin menafikan negara kehilangan pelaburan asing daripada MNC kepada negara-negara jiran.

"Kita kini lebih selektif dari segi pelaburan yang masuk ke negara kita. Kita tidak mahu lagi industri bersifat intensif buruh ke Malaysia kerana kita tidak mahu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing," dia dilaporkan berkata.

Azmin juga berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan asing yang boleh membawa nilai kepada pemain tempatan.

Pada Januari lalu, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB melaporkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia merosot 68 peratus pada tahun lalu, iaitu kadar terburuk di Asia Tenggara.

Menurut Johari, walaupun penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan pelaburan di Malaysia, keadaan berbeza berlaku di Indonesia.

"Wabak Covid-19 lebih teruk di Indonesia tetapi FDI sehingga AS$18 bilion pada 2020, sementara FDI Malaysia merosot kepada AS$2.5 bilion pada tahun sama.

"Pada 2017, FDI di Indonesia pada 2017 hanyalah berjumlah AS4.5 bilion," katanya, sambil mendakwa FDI di Malaysia pada tahun tersebut - ketika pentadbiran BN - mencecah AS$13.5 bilion.

Katanya lagi, syarikat asing lebih suka melabur di negara yang tinggi tahap demokrasinya.

Justeru, katanya lagi, menteri dan timbalan menteri Umno perlu menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menamatkan darurat, yang menurutnya telah memberi kesan kepada kemasukan pelaburan asing.

"Menteri kita ada sembilan orang, timbalan ada lapan orang. Tak perlu letak jawatan (tetapi gesa) tamatkan darurat," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan

Tiada ulasan: