Rabu, 31 Mac 2021

Pemandu Proton Wira diberkas halang jentera bomba

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

Tangkap layar kereta Proton Wira yang menghalang jentera bomba semasa 
menjalankan tugas kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar 
Batu, Johor Bahru di sini pada 27 April 2019 tular di media sosial baru-
baru ini.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menghalang laluan jentera bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugas kecemasan pada 2019 selepas rakaman video perbuatannya itu tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam di Taman Munsyi Ibrahim di sini semalam.

“Suspek yang ditahan itu bekerja sebagai operator kilang. Kita juga turut merampas Proton Wira milik suspek seperti yang tular di laman sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman video berdurasi satu minit enam saat yang tular di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 6,000 komen warganet.

Mohd. Padzli berkata, berdasarkan rakaman video yang tular itu, kereta dipandu suspek menghalang jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu di sini.

Katanya, suspek mengambil kesempatan dengan memandu di hadapan jentera bomba serta mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah.

“Dalam video itu, jentera bomba berada di belakang kereta dipandu suspek, ia sekali gus membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah.

“Kami mohon kerjasama pengguna jalan raya untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama dalam memberi laluan kepada kenderaan bomba dan ambulans yang terbabit dalam hal kecemasan,” katanya.

Katanya, keputusan ujian air kencing suspek adalah negatif dan dia tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.-K! ONLINE

Tiada ulasan: