Rabu, 31 Mac 2021

12 VVIP termasuk menteri disiasat langgar SOP, ada yang dikompaun

polis siasat 12 vvip
Suspek hina Islam dan hasut murtadkan wanita ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman hari ini.

KEGAGALAN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya terjadi dalam kalangan rakyat biasa.

Yang dalam Kabinet dan berstatus kenamaan juga tidak terkecuali ingkar SOP PKP yang dikuatkuasakan kepada semua tanpa mengira gagak atau enggang bagi mengawal penularan COVID-19.

Menurut polis, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka membabitkan golongan orang kenamaan yang tidak mematuhi SOP PKP.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis menjalankan siasatan terhadap semua kes membabitkan golongan itu mengikut laporan yang diterima sejak PKP pertama Mac tahun lalu.

Justeru, beliau berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap berdiam diri dan tidak mengambil tindakan terhadap kes membabitkan orang kenamaan adalah tidak benar.

“Daripada jumlah kertas siasatan dibuka, tiga daripadanya tidak diambil tindakan kerana siasatan mendapati individu yang terlibat berada dalam tugasan rasmi serta mengikuti SOP ditetapkan.

“Ada di kalangan golongan terbabit sudah dikompaun dan ada pula yang sudah membayar kompaun dikenakan manakala yang lain-lain masih dalam tindakan kita,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim serta Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman.

Mengenai kes membabitkan majlis perkahwinan keluarga VIP di Klana Resort Seremban pertengahan dan lawatan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri di Kem Sendayan baru-baru ini, ia masih dalam tindakan polis.

“Untuk kes Ismail Sabri, kita akan merakamkan keterangan penganjur majlis berkenaan walaupun ia majlis rasmi manakala majlis perkahwinan di Klana Resort Seremban sudah diambil keterangan semalam.

“Sekiranya berlaku pelanggaran, pegawai yang membuat siasatan akan membuat laporan dan seterusnya tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

“Kes membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang hadir pada satu program di Taman Persekutuan Kiara, Taman Tun Dr Ismail, didapati mematuhi garis panduan dan SOP ditetapkan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Polis rujuk kes Annuar Musa langgar SOP ke pejabat peguam negara

Terdahulu dalam ucapannya, Huzir berpuas hati dengan pencapaian polis Negeri Sembilan khususnya IPD Nilai apabila indeks jenayah menurun kepada 653 kes tahun lalu, iaitu 275 kes atau 29.6 peratus daripada 928 kes pada tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, penurunan sebanyak 41 kes atau 37.6 peratus kepada 68 kes daripada 109 kes tahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: