Rabu, 31 Mac 2021

Bas mesra alam di Iskandar Puteri

BAS mesra alam diuji di laluan sekitar Iskandar Puteri. FOTO ihsan pembaca.
BAS mesra alam diuji di laluan sekitar Iskandar Puteri. FOTO ihsan pembaca.

Iskandar Puteri: Kemunculan bas hibrid di laluan di Iskandar Puteri menarik perhatian ramai pengguna jalan raya di kawasan berkenaan pada Ahad lalu.

Kenderaan itu antara bas mesra alam yang terbabit dalam program ujian rintis Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, Projek Bas Alihan Cepat Iskandar Malaysia (IMBRT) yang akan mencapai fasa seterusnya membabitkan program ujian rintis selama tiga bulan.

Beliau berkata, ujian rintis itu turut membabitkan penyertaan sembilan pembekal bas bagi pelaksanaan demonstrasi teknologi bas hijau terkini meliputi elektrik dan bio diesel.

Menurutnya, ia akan dijalankan IRDA di sepanjang laluan Lebuhraya Sultan Iskandar di antara Horizon Hill dengan Anjung di Medini.

"Pembekal berkenaan akan mengetengahkan bas bersaiz enam meter, 12 meter dan 32 meter.

"Suatu kajian akan dilaksanakan Institut Pengangkutan Malaysia untuk menilai prestasi sistem alihan cepat automatik, terutama membabitkan keupayaan belok, mudah dikendalikan dan pertukaran laluan.

"Bas bersaiz enam meter akan melalui penilaian kebolehlaksanaan laluan penghantar selain tempoh hayat bateri (bagi setiap perjalanan) untuk bas elektrik.

"Program itu akan menjadi satu pencapaian penting bagi IMBRT memandangkan projek tersebut dilaksanakan pada tahap maksimum," katanya.

IMBRT yang ditetapkan sebagai tulang belakang pengangkutan awam di Iskandar Malaysia, bermatlamat untuk memperluas liputan pengangkutan awam di wilayah itu daripada 39 peratus kepada 90 peratus selain meningkatkan bahagian mod pengangkutan awam daripada 15 peratus kepada 40 peratus pada 2025.

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan liputan rangkaian keseluruhan seluas 2,051 kilometer atau hampir 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Laluan utama bagi IMBRT sepanjang 54.92 kilometer menerusi Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri.

Projek itu merangkumi 33 stesen dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Laluan Skudai.

Laluan utama akan mempunyai dua stesen akhir iaitu di Desa Jaya melalui Laluan Tebrau dan di Anjung menerusi Laluan Iskandar Puteri.

Sistem kenderaan hibrid bakal menawarkan penjimatan bahan api lebih baik serta mengurangkan pencemaran Co2 berbanding bas bandar berkuasa diesel konvensional.

Hibrid mempunyai kelebihan dalam menyediakan kenderaan dengan kecekapan bahan api lebih baik serta sifar karbon.

Tiada ulasan: