Jumaat, 26 Mac 2021

Rasuah KLIA: Pegawai Imigresen dituduh ambil suap RM25,000

rasuah KLIA
Rasuah KLIA, lagi pegawai Imigresen didakwa kerana suapan untuk tidak diambil tindakan pada warga asing./ Gambar ihsan SPRM - media sosial BH

DIDAKWA terima suapan RM25,000 sebagai upah tidak mengambil tindakan ke atas warga asing.

Itu pertuduhan yang dihadapi seorang pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika kejadian.

Nor Azma Azmin, 39, yang juga ibu kepada tiga anak itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berhubung rasuah berjumlah RM25,000 pada 2017 ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh hari ini.

Bagi pertuduhan utama, Pegawai Imigresen Gred 19 itu didakwa menerima suapan RM25,000 daripada seorang wanita sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap warga China dan Pakistan yang mungkin dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Memetik laporan BH Online, bagi pertuduhan pilihan, Noor Azma didakwa dengan jawatan, bahagian dan jumlah suapan sama sebagai balasan membantu melepaskan warga asing berkenaan serta gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Dia didakwa melanggar peruntukan Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bahagian terminal KLIA, Sepang pada 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd ‘Afif Ali memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin berikutan laporan polis terhadap tertuduh pada 21 Mac lalu oleh saksi utama pendakwaan.

Beliau berkata, saksi berkenaan membuat laporan polis selepas berasa terganggu apabila dihubungi tertuduh selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.

“Justeru tiada jaminan wajar ditawarkan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan dengan budi bicara, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin warganegara.

“Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan serta tertuduh dilarang mengganggu atau menghubungi saksi kes,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Rasuah KLIA, pegawai Imigresen didakwa

SPRM lucut hak Ducati V4S, Ford Ranger dan roadbike S-Works pegawai Imigresen KP19

Peguam tertuduh, Norliana Ali Othman bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang lebih rendah kerana tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM10,000.

Beliau berkata, anak guamnya tidak mengetahui wanita yang juga rakannya itu adalah saksi utama kes dan menghubungi untuk bertanya khabar.

“Tertuduh berjanji tidak akan mengganggu saksi kes dan akan memberi kerjasama sehingga kes selesai,” katanya.

Hakim membenarkan Noor Azma dijamin dengan RM30,000 dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Rozilah memaklumkan jaminan akan dibatalkan jika mahkamah menerima tertuduh mencari, menghubungi atau mengunjungi saksi SPRM.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 30 April depan.

Tiada ulasan: