Selasa, 30 Mac 2021

Perhimpunan haram tuntut Undi18, 7 pemimpin politik beri keterangan pada polis

Beberapa pemimpin politik dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis 
Daerah Dang Wangi hari ini kerana mengadakan perhimpunan haram tuntut Undi18.

KUALA LUMPUR: Tujuh aktivis termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dapsy Howard Lee dan Setiausaha Agong Parti Muda Amir Abdul Hadi, memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini bagi membantu siasatan kes perhimpunan haram menuntut pelaksanaan Undi18 di ibu negara, Sabtu lalu.

Turut memberikan keterangan, ADUN Ketari Young Syefura Othman; Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithnin; Ketua Pemuda PSM Sharan Raj dan bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad.

Kesemua mereka diiringi sepasukan lima peguam diketuai oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Amir ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa siasatan ke atas aktivis Undi18 dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memaklumkan perhimpunan itu lebih awal kepada polis.

Katanya, polis memaklumkan mereka turut disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan mereka memberi kerjasama penuh sepanjang proses rakaman percakapan dilakukan.

“Saya berharap polis tidak menggunakan ini sebagai alat untuk mengganggu aktivis yang turun ke jalanan menuntut supaya Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan seperti dijanjikan Julai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan selama kira-kira sejam.

Dua lagi ahli politik dijangka memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat ialah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan, polis akan memanggil penganjur dan peserta perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun di Jalan Parlimen, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, dipetik berkata pihaknya juga menjalankan siasatan berhubung perhimpunan yang diadakan itu.

Sementara itu Howard berkata, meskipun dipanggil memberikan keterangan ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hak anak muda berdasarkan Pindaan Perlembagaan yang dibuat tahun lalu.

Katanya, pelbagai alasan diberikan kerajaan Perikatan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 pada pilihan raya umum akan datang tidak dapat diterima.

Tiada ulasan: