Rabu, 31 Mac 2021

Nak pinjam RM40,000, tapi diperdaya RM29,721.60

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Port Dickson: Seorang penjawat awam lelaki kerugian RM29,721.60 apabila menjadi mangsa kes penipuan pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan mengenai penipuan pinjaman tidak wujud melalui FB pada 28 Mac lalu.

"Mangsa berusia 33 tahun berurusan dengan seorang lelaki untuk membuat pinjaman sebanyak RM40,000 untuk tujuan peribadi.

"Difahamkan, suspek meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM29,721.60 ke dalam tiga buah akaun berbeza yang dikatakan untuk tujuan proses pinjaman, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai alasan lagi.

"Selepas semua wang dimasukkan, mangsa masih diminta membuat bayaran RM25,000 yang dikatakan proses terakhir sebelum pinjaman diluluskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberitahu bahawa namanya akan disenarai hitam jika pembayaran itu tidak dibuat.

Menurutnya, mangsa tidak membuat pembayaran RM25,000 seperti diminta kerana rasa diperdaya.

"Siasatan masih dijalankan dan usaha memburu suspek dan sindiket terbabit masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik bermula 1 Januari lalu sehingga hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Port Dickson sudah membuka 10 kertas siasatan berhubung penipuan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian keseluruhan RM63,250.

Sehubungan itu, menurutnya, polis mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan membuat pinjaman dengan institusi kewangan atau agensi pemberi pinjaman wang berlesen.

Pada masa sama, katanya, mereka dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook, WhatsApp dan poster berkenaan pinjaman wang agar tidak terpedaya.

Tiada ulasan: