Jumaat, 26 Mac 2021

Pensyarah BONGKAR kejahatan makhluk ini. Rupanya orang Melayu ramai terpedaya


Jin hantu raya

Dalam masyarakat kita, kerap kali didendangkan tentang kisah hantu raya. Ada kisah hantu raya makan tuan, hantu raya mengamuk dan berbagai macam lagi versi. Sebelum topik hantu raya ini diperincikan, ada baiknya kita memahami konsep sebenar kejadian-kejadian makhluk di atas muka bumi.

Secara asasnya, Allah adalah Tuhan yang mencipta segala makhluk yang ada di alam semesta. Di antara makhluk-makhluk ini, ada yang dapat dilihat dengan mata kasar dan ada pula yang halus dan ghaib.

Jin dan syaitan merupakan antara makhluk ghaib yang tinggal di atas muka bumi. Dalilnya, firman Allah surah al Baqarah: 36,

“Ingatlah kamu ketika Kami berfirman: Turunlah kamu semua (manusia dan jin), kamu bermusuhan antara satu sama lainnya dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kehidupan di atas muka bumi.” 

Ayat di atas jelas membuktikan, jin juga tinggal di atas muka bumi seperti manusia, bukannya di suatu alam ghaib yang istimewa.

Jin suka tinggal di tempat kotor dan tidak berpenghuni.

Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka kerana kejadian tubuhnya yang halus. Sebagaimana kita tidak dapat melihat angin, begitulah juga kita tidak dapat melihat jin dan syaitan walaupun mereka berada di depan mata kita.

Menurut Imam as Sayuti dalam kitabnya Ahkam al-Jan, jin dan syaitan suka mendiami tempat-tempat kotor, seperti najis binatang, sampah sarap dan sebagainya. Mereka juga tinggal di air, udara, tanah perkuburan, padang pasir, gunung, hutan rimba dan juga pohon-pohon.

Justeru, orang Melayu yang terserempak dengan makhluk ini menamakannya bersempena lokasi ia ditemui. Timbullah istilah hantu kubur, jembalang tanah, hantu air dan hantu laut.

Dari segi fizikal, ada jin yang kerdil dan kecil maka digelar toyol, yang bertelanjang tanpa pakaian, digelar hantu kopek, yang berbungkus kain kapan digelar hantu bungkus, yang tinggi digelar hantu galah atau hantu tinggi, yang berkulit hitam digelar orang minyak, yang terbang mengilai-ilai digelar langsuir, yang melompat-lompat digelar hantu pocong, yang menyerupai belalang digelar pelesit dan yang menyerupai manusia digelar orang bunian.

Dapat disimpulkan, makhluk-makhluk ghaib yang dikenali sebagai hantu dalam masyarakat Melayu ini adalah makhluk jin yang menjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.

Jin bernama Ifrit

Untuk mengenali sifat dan sikap makhluk-makhluk ghaib khususnya yang digelar hantu raya dan orang bunian, maka dialog antara Nabi Sulaiman a.s. dan menteri-menterinya dalam surah An Naml: 38-40 boleh dijadikan sandaran. Firman Allah S.W.T.

“Sulaiman berkata: “Wahai pegawai-pegawai ku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepada ku singgahsananya (Balqis) sebelum mereka datang menghadap ku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

Gambaran pelukis tentang kisah Nabi Sulaiman dengan 
Ratu Balqis

Berkata Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepada mu sebelum engkau bangun dari tempat duduk mu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab: “Aku akan datangkan singgahsana itu kepada mu sebelum mata mu berkelip.” Maka setelah dilihatnya singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: “Ini adalah kurnia Tuhan ku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari.

Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya, lagi Maha Mulia.”

Dalam ayat ini, terdapat beberapa watak makhluk yang memiliki kebolehan dan kedudukan yang istimewa. Antaranya ialah Ifrit, Balqis dan seorang lelaki yang mempunyai ilmu dari Al-Kitab.

Ifrit Segagah-gagah dan sejahat-jahat Jin

Berdasarkan ayat di atas, dapat kita ketahui bahawa Ifrit adalah salah satu bangsa jin yang gagah, kuat dan perkasa. Menurut Ibnu Ajibah dalam tafsirnya Al-Bahr al-Madid, nama Ifrit tersebut ialah Zakuan atau Sakhra’.

Ia mendakwa mampu untuk membawa singgahsana Balqis yang diperbuat daripada emas padu bertatahkan manikam, zamrud, zabarzad dan mutiara dari negeri Saba ke Palestin dalam masa yang singkat.

Selain terkenal dengan kekuatannya, Ifrit juga masyhur sebagai makhluk yang sangat banyak tipu helah dan suka membodohkan manusia. Menurut ahli tafsir, oleh kerana Ifrit bimbang Nabi Sulaiman tidak mempercayainya, maka ia terpaksa menegaskan kesungguhannya itu dengan berkata,

“Sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.”

Ifrit merupakan rakan kongsi utama syaitan dan ia menaruh dendam yang amat mendalam terhadap manusia. Ia akan melakukan pelbagai usaha untuk merosakkan manusia termasuk kepada para nabi.

Ada riwayat mengatakan bahawa salah seekor Ifrit yang bernama Sokhel pernah menjelma dalam rupa Nabi Sulaiman bagi memperdayakan penyimpan cincin hikmat Nabi Sulaiman. Akibat kehilangan cincin tersebut, Sokhel telah berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman selama 40 hari.

Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah didatangi oleh Ifrit untuk menggoda Baginda supaya terputus dari mengerjakan solat. Begitulah kejahatan dan kedengkian makhluk ini terhadap manusia.

“Di sebalik keburukan sifat Ifrit, masih terdapat sebilangan manusia yang sanggup mengambil makhluk yang jahat ini sebagai sahabat atau pendamping mereka.”

Dalam masyarakat Melayu, Ifrit yang dijadikan sahabat dikenali sebagai hantu raya. Sebagaimana kebolehan Ifrit di zaman Nabi Sulaiman, Ifrit atau hantu raya yang dibela ini juga boleh menjelma menyerupai tuannya, boleh disuruh menjaga harta tuannya, boleh mengambil sesuatu jauh dengan cepat, boleh digunakan untuk menggerunkan musuh dan macam-macam lagi.

Manusia yang menggunakan khidmat Ifrit kebanyakannya akan menghadapi masalah di akhir hayat mereka. Pelbagai gangguan dan penyakit akan ditimpakan ke atasnya. Apabila tuannya meninggal, Ifrit akan mencari tuan baru dari kalangan anak cucu tuannya. Inilah yang dikenali sebagai saka. Begitulah cara Ifrit melakukan tipu daya untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam a.s.

Masyarakat Melayu kerap menjadikan hantu raya (Jin dan 
syaitan) sebagai teman untuk kesenangan duniawi

Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam surah Al’A’raf: 16-17,

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan menghalangi mereka (keturunan Adam) semua dari jalan Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Oleh kerana itu, para ulama melarang keras umat Islam dari bersahabat dengan makhluk jin kerana ia tidak memberi sebarang manfaat. Syeikh Abdul Wahab As-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir,

Barang siapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil.  Ini kerana menjadi tabiat jin untuk melampau-lampau dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik

Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” MALAYSIA NOW

(*) Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang

Tiada ulasan: