Sabtu, 27 Mac 2021

‘Sarjan Ramon’ perdaya guru, RM9,850 lesap


MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF

KUANTAN: Seorang guru tuisyen berusia 34 tahun kerugian RM9,850 akibat ditipu sindiket Macau Scam ketika kejadian di Cameron Highlands, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki tersebut dihubungi suspek menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000 dan diarahkan mahkamah supaya membuat bayaran pada hari tersebut (semalam).

“Lelaki yang menghubungi mangsa itu terus menyambung talian kepada suspek lain yang menyamar sebagai Sarjan Ramon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir menambah, Sarjan Ramon menyarankan supaya mangsa memohon perlindungan daripada pihak Bank Negara bagi mengelak LHDN melakukan pemotongan baki akaun bank.

“Suspek telah berikan kod laman web 107.191.63.2/03520003 dan menyuruh mangsa memasukkan semua wangnya ke dalam satu akaun bank sahaja.

“Selepas lima minit, mangsa menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan terdapat dua transaksi pemindahan wang telah dilakukan,” jelasnya.

Tambah beliau, mangsa terus memeriksa baki akaun dan mendapati wangnya telah lesap, sekali gus berasa tertipu.

“Mangsa terus hadir ke Balai Polis Brinchang untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: