Selasa, 30 Mac 2021

Melaka galak guna “Warong Rider” atasi kesesakan bazar Ramadan

 

MELAKA: Perkhidmatan penghantaran barang “Warong Rider” yang dijadualkan bermula di Melaka awal bulan puasa ini, akan memberikan banyak keselesaan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan juadah bazar Ramadan.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata platform yang melibatkan urus niaga secara e-dagang dengan pembayaran secara dalam talian itu juga sedikit sebanyak dapat memastikan penjarakan sosial, di samping menggalakkan orang ramai kekal selamat di kediaman masing-masing semasa berurus niaga.

Beliau berkata bagi 2021, program yang diselaraskan menerusi Melaka ICT Holdings (MICTH) dengan kerjasama Idea Kreatif Technology Sdn Bhd itu mensasarkan seramai 500 penghantar, dan 2,000 penghantar bagi seluruh negara.

“Jadi saya menyeru semua belia di negeri ini mendaftar dalam program ini di laman sesawang rasmi MICTH. Peluang ini wajar direbut memandangkan terdapat pelbagai insentif akan diperolehi penghantar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Warong Rider di bawah program Warongku.

Antara insentif disediakan meliputi perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif 

rider cemerlang, bonus bulanan dan tahunan, termasuk cabutan umrah.

Sulaiman berkata ejen juga boleh mendaftar secara percuma tanpa yuran bulanan atau tahunan, serta bayaran penuh kepada peniaga dengan komisen sehingga 20%.

Beliau berkata konsep Warong Rider ini bukan sekadar menghantar pesanan makanan halal, malah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat.

“Ini termasuklah penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah, serta penghantaran dari kedai runcit atau pasar raya terus ke lokasi pelanggan,” katanya.

Tiada ulasan: