Selasa, 30 Mac 2021

Menjerit lihat kereta dipandu kakak bertembung treler

Muhammad Azwan Abdul Muid, 26, berkata ketika kejadian pada jam 4 pagi itu, beliau yang memandu ditemani isteri dan ibunya sedang berkonvoi untuk pulang ke Banting selepas selesai majlis perkahwinannya di Pasir Mas, Kelantan.

"Kami menaiki tiga kereta berasingan iaitu saya bersama ibu dan isteri, manakala arwah kakak, Marlianna serta Marlia menaiki kereta lain bersama Muhammad Aisy Harraz Aziz dan Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin dan kereta ketiga dinaiki seorang lagi kakak saya, Marlina bersama suaminya.

"Ketika kejadian, Marlianna memandu di hadapan saya dan saya lihat keretanya memasuki lorong sebelah (bertentangan) yang kemudian bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

"Saya tidak pasti sama ada dia mahu memotong atau mengantuk ketika itu. Saya begitu terkejut dan hanya mampu menjerit. Ibu juga turut menjerit memanggil nama kakak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Bayu, Morib, hari ini.

Dalam kemalangan itu, empat sekeluarga terbunuh iaitu Marlianna, 37; adiknya, Marlia, 36; Muhammad Faizz Aryan , 9, yang juga anak Marlia, dan Muhammad Aisy Harraz, 7, (anak Marlina).

Jenazah empat mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Morib, Kuala Langat pada jam 4.55 petang tadi.

Pengebumian itu dihadiri keluarga termasuk ibu arwah, Zabaidah Talib, 61, yang dilihat lemah dan sedih dengan pemergian dua anak serta cucu.

Muhammad Azwan berkata, selepas pertembungan itu, beliau menghentikan kereta dan melihat kereta kakaknya sudah remuk dan dua anak saudaranya tersepit di tempat duduk belakang.

Beliau berkata, Marlia sebelum itu sempat berpesan kepada isterinya, Nadzirah Kamaruddin, 26, supaya menjaganya dengan baik.

Sementara itu, bekas suami Marlia, Mohd Faizuddin Rosman berkata, dia sepatutnya menemui anaknya, Muhammad Faizz Aryan hari ini.

"Saya baru membeli permainan helikopter untuk diberi kepadanya hari ini dan kebiasaannya kami akan berjumpa pada hari minggu, tetapi hasrat saya tidak kesampaian.

"Saya dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh keluarga Marlia awal pagi tadi," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: