Selasa, 9 Mac 2021

‘Perlekeh’ pemimpin tunai umrah: Kejahilan yang tiada kesudahannya

ANALISIS

Perangai jahil politik ini bukan baru… lama dah, sejak 90-an lagi. Bila ada sahaja pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang pergi menunaikan umrah, mereka pasti menjadi sasaran kecaman oleh musuh-musuh politik mereka. Yang buat perangai ni ada yang bertaraf pemimpin.

Contoh terbaru, mereka pertikaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pergi Arab Saudi atas jemputan Raja Salman Abdul Aziz. Oklah itu boleh maaf lagi, tetapi kalau sampai ke tahap Perdana Menteri menunaikan ibadah umrah pun mahu ‘diperlekehkan’, itu sudah melampau.

Kalau berbeza fahaman politik atau dok ‘meroyan’ hilang kuasa tak habis-habis lagi atau dah benci sangat kat Muhyiddin tidak payahlah sentuh soal ibadah orang. Itu bukan politik lagi, itu sudah masuk kategori sikap jahil yang tiada kesudahannya.

Dalam hal amal ibadah ni, bukan kata Muhyiddin malah mana-mana juga pemimpin politik tidak kira pembangkang atau kerajaan tidak harus diperlekehkan. Cuba imbas kembali siapa yang tidak kena dengan sikap ‘golongan jahil’ ini?

Sebut siapa? Tun Dr.Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ramai lagi, semuanya pernah menjadi ‘mangsa’ spesis tersebut. Berpolitik kena ada batasnya, jangan main sedap mulut sahaja, ingat dosa pahala sama, bukan dok fikir nafsu amarah politik semata-mata.

Soal ibadah pemimpin tersebut tak perlu ‘diperlekehkan’, apatah lagi menggunakan perkataan tidak molek ketika pemimpin tersebut berada di tanah suci. Soal ibadah seseorang jangan campur dengan politik. Itu urusan dia dengan Allah SWT.

Kalau setakat nak kritik soal lawatan Perdana Menteri atau mana-mana pemimpin ke mana-mana juga negara, silakan, tetapi jangan sentuh bab amalan ibadah mereka, tak kira pemimpin itu daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.

Hentikan politik jahil macam tu, tidak ada faedah pun sebaliknya hanya menampakkan ‘kejahilan’ kita untuk mengawal nafsu politik sendiri.

Fikirkanlah apa perasaan mereka, kalau yang diperlekeh melakukan umrah itu pemimpin yang mereka sanjung, puja, dulu kini dan selamanya, hingga apapun orang kata pasal pemimpin itu, akan pertahankan habis-habisan. Sudah pastilah mereka akan berasa kecewa dan menganggap orang yang memperlekehkan amal ibadah pemimpin tersebut sebagai ‘sejahil-jahilnya makhluk’.

Jadi jangan buat ‘politik bodoh’ macam tu. Kalaupun tak berpuas hati dengan Muhyiddin, tumpulah kepada isu di luar daripada amal ibadah yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Nak marahkan Muhyiddin sebab tubuh kerajaan dengan UMNO… silakan, nak marah Muhyiddin tak nak buat sidang Parlimen… teruskan, nak kerjasama dengan beberapa pemimpin dalam parti kerajaan atau pembangkang untuk jatuhkan Muhyiddin…tiada masalah… tetapi bak kata orang Kedah ‘bila mai bab ibadah ni, hang jaga la mulut sikit’.

Penulis tak perlu nyatakan siapa yang berperangai jahil itu. Siapa makan cili, dia rasa pedasnya, lagipun kalau dinyatakan siapa… banyak pula orang mengeji. Cuma nak minta kepada ahli politik yang buat perangai tu, gunakanlah akal bila nak bercakap, jangan guna nafsu untuk berbicara.

Tiada ulasan: