Mengetahui diri menghidapi kanser pada usia muda bukan satu perkara yang mudah untuk diterima, tambahan pula diri tinggal sebatang kara tanpa mak dan ayah.
Bagi tuan empunya diri, Wan Nur Nishabella Wan Mohd Swardy, 23, pertama kali diberitahu terpaksa hidup dengan kanser limfoma pada April 2018, ia adalah berita yang terlalu perit untuk ditelan bersendirian.
Namun, anak jati dari Terengganu ini tabah menguatkan diri untuk menerima kenyataan walaupun ia sukar.
“Dalam fikiran ketika itu hanya memikirkan dugaan orang lain yang lebih berat, ada yang tak ada duit untuk rawatan. Alhamdulillah setakat ini Nisha okay,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.
Menurut pelajar Diploma Farmasi, Universiti Wildad, Kuantan, Pahang itu, dia terpaksa menangguhkan pengajiannya sehingga kini disebabkan penyakit yang dihadapinya itu.
Klik untuk saksikan video: https://vt.tiktok.com/ZSJ2MKfJF/
Menceritakan balik pengalaman sebelum disahkan menghidapi kanser limfoma, Nur Nishabella berkata, semuanya bermula apabila dirinya demam, batuk dan kemudian bengkak pada bahagian leher.
Ujarnya, dia juga kerap berpeluh terutamanya ketika waktu malam.
“Lepas itu buat keputusan untuk ke klinik. Selepas makan ubat beberapa hari masih tidak berubah dan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Bekas pesakit kanser digalak terima vaksin – Timbalan KP Kesihatan
Selepas dua minggu, Nur Nishabella terpaksa menerima kenyataan dirinya ada kanser limfoma.
Kisah dirinya itu turut dikongsi di media sosial bagi memberi dorongan kepada pesakit lain yang senasib dengannya.
Rata-rata pengikut akaun media sosialnya memberi kata-kata semangat dan memuji perkongsian mengenai penyakit yang dihadapi.
“Semoga Nisha terus kuat dan Nisha boleh. Ramai orang sayang Nisha. Jangan pernah mengalah” ujar @hajjrizah dalam ruangan komen video yang dikongsikan oleh Nisha.
Menurut Nisha adik-adik, atuk dan neneknya merupakan sumber kekuatan untuk terus kuat melawan penyakit yang dihadapinya.
“Fikir family,adik, memang nak sihat untuk diri sendiri juga, kalau kita tak lawan siapa nak lawan untuk kita. Kena kuat sebab nak habiskan belajar, nak kerja dan ada kehidupan macam orang lain juga” kata Nisha.
Video yang dimuat naik oleh Nisha di akaun TikToknya dengan kapsyen “World Cancer Day”telah meraih perhatian warga maya yang dikatakan memberikan inspirasi kepada pesakit kanser lain untuk terus berjuang.
Kini Nur Nishabella dalam proses pemulihan selepas melakukan rawatan sel stem yang diterima daripada adik bongsunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan