Ahad, 28 Mac 2021

Bagaimana kerajaan tangani masalah air negara?

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air sering menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat susulan pelbagai isu yang timbul khususnya berkaitan pencemaran sejak beberapa tahun lepas.

Mana tidaknya, pencemaran air yang boleh dikatakan berlaku saban bulan di Selangor dan Lembah Klang sering mengakibatkan gangguan bekalan air, menjadikan rakyat semakin gusar apakah pula yang bakal dihadapi pada masa akan datang.

Tidak lupa juga pencemaran akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang menggemparkan negara kira-kira dua tahun lepas hingga menyebabkan 111 buah sekolah sekitar ditutup.

Persoalannya, sampai bila isu pencemaran sumber air negara akan berlarutan?

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui, sektor air negara harus dibangunkan dengan lebih holistik mencakupi segenap aspek sebagai jaminan kepada rakyat pada masa depan.

Beliau berkata selain pencemaran, antara isu lain berkaitan sektor air adalah kawasan tadahan yang kritikal, tiada perpaipan bersambung antara loji rawatan air, kebergantungan kepada hanya satu sumber air serta tiada sistem discaj efluen industri berpusat.

“Kajian Dasar Air Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sedang dilaksanakan termasuk berkaitan pembangunan sumber air dan sektor pengagihan air, Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) serta sekuriti air.

“Sekarang ini berlaku perubahan iklim, maka banyak perkara di luar jangkaan boleh terjadi. Disebabkan itu kita kena ada perancangan. Dengan kajian berkenaan, kita sasar pelaksanaannya sehingga tahun 2040,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata antara langkah diambil Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam menangani isu pencemaran sungai adalah membangunkan dan ‘menghidupkan’ denai di tepi sungai sebagai kawasan rekreasi supaya tiada pihak membuang sampah sewenang-wenangnya.

Selain itu juga jelasnya, kerajaan turut bercadang membangunkan Sistem Discaj Efluen Berpusat supaya jika berlaku pencemaran daripada industri ke sungai, ia dapat dihentikan lebih awal bagi mengelakkan gangguan operasi loji rawatan air (LRA).

“Sekarang ini, industri mempunyai sistem discaj efluen masing-masing namun jika ada sistem secara berpusat, lebih mudah dan cepat untuk kita kesan seandainya berlaku pencemaran.

“KASA sedang berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak industri mengenai perkara tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sistem perpaipan bersambung antara LRA yang dilihat boleh mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna sekiranya berlaku pencemaran sungai.

“Contohnya sekarang ini, jika LRA A tidak boleh membekalkan air, LRA B tak boleh tolong. Jadi kita mahu wujudkan kaedah sambungan paip supaya bila ada LRA dihenti tugas, LRA lain boleh tingkatkan operasi dan sekurang-kurangnya menampung sedikit (penghasilan air terawat). Tidaklah berhenti terus,” katanya.

Malaysia mempunyai 499 LRA dan 85 empangan dengan Sarawak mempunyai LRA terbanyak iaitu 93 buah dan lapan empangan diikuti Sabah (73 LRA dan empat empangan); Pahang (72 LRA dan lapan empangan); Perak (46 LRA dan 10 empangan) serta Johor (44 LRA dan 14 empangan).

Sementara itu, Kedah memiliki 38 LRA dan enam empangan; Selangor (35 LRA dan 10 empangan); Kelantan (35 LRA dan dua empangan); Negeri Sembilan (23 LRA dan lapan empangan); Terengganu (12 LRA dan dua empangan); Pulau Pinang dan Melaka masing-masing sembilan LRA dan empat empangan; Labuan (enam LRA dan tiga empangan); Perlis (empat LRA dan satu empangan) serta satu empangan di Putrajaya.

Ditanya pula mengenai persiapan negara menghadapi sebarang kemungkinan seperti kemarau, Tuan Ibrahim berkata pelbagai langkah telah dan sedang dilakukan kerajaan bagi memastikan simpanan air mencukupi bagi menghadapi situasi berkenaan.

Katanya, walaupun kawasan tadahan air negara agak kritikal, namun beliau telah berbincang dengan menteri-menteri besar supaya lokasi tersebut diwartakan serta tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan demi kelestarian sumber air pada masa depan.

Pada masa sama juga kata Tuan Ibrahim, kerajaan sedang memperbanyakkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berhampiran LRA sebagai sumber kedua atau alternatif untuk membekalkan air kepada rakyat.

“Semasa musim tengkujuh kita ada banyak air. Waktu inilah kita kena takung untuk dimanfaat ketika kita kekurangan air (kemarau). Sebab itu kita wujudkan TAPS. Katakanlah pencemaran sungai berlaku, TAPS juga boleh tampung. Inisiatif ini berikutan pergantungan kepada hanya satu sumber air (sungai) adalah berisiko,” katanya.

Selain itu kata beliau, satu inisiatif baharu bagi mempelbagaikan sumber air negara diwujudkan iaitu air pulih guna untuk kegunaan industri bukan makanan atau minuman dengan Selangor menjadi negeri pertama bekerjasama dalam usaha berkenaan.

“Usaha ini diharap dapat mengurangkan pergantungan kepada air terawat pada masa depan. Kita akan teruskan ke negeri lain pula yang mempunyai loji kumbahan bersepadu supaya simpanan air negeri dapat ditingkatkan,” katanya.

Air pulih guna adalah air dihasilkan oleh Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP) yang merawat bio efluen daripada loji rawatan air sisa selenggaraan Indah Water Konsortium (IWK) melalui proses penapisan ultra dan osmosis berbalik untuk dimanfaatkan sektor perkilangan bukan berasaskan makanan atau minuman.

LRAP pertama dibangunkan di Setia Alam, Selangor yang berupaya membekalkan sebanyak 7.5 juta liter air pulih guna sehari. BERNAMA

Tiada ulasan: