Rabu, 31 Mac 2021

Melonjak balik hari ini hampir cecah 1,500 kes

melonjak balik hari

DUA Hari lepas tiga angka, hari ini kes baharu COVID-19 melonjak balik hampir mencecah 1,500 kes.

Malah, kes sembuh yang dilaporkan hari ini lebih rendah daripada kes baharu iaitu sebanyak 1,070.

Ini menyebabkan kes aktif yang sedang dirawat di seluruh negara meningkat kepada 14,604.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 164 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, sebanyak 81 pesakit COVID-19 pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Hari ini juga menyaksikan tujuh lagi kematian dilaporkan melibatkan 5 rakyat Malaysia dan dua bukan warganegaran.

“Angka kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,272 kes,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.

Tambah Noor Hisham, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 661 kes diikuti Pulau Pinang (200 kes) dan Sarawak, 176 kes.

Baca artikel berkaitan: Sehari saja tiga angka, hari ini naik balik lepasi 1,000

Hari ini juga menyaksikan semua negeri dan wilayah mencatatkan kes baharu dengan terendah Perlis, satu kes diikuti Terengganu, dua kes dan Putrajaya, tiga kes.

Sementara itu, kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini.

Menurut beliau, tujuh daripadanya membabitkan tempat kerja, lima komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Kluster baharu itu dikesan di Kedah, Sarawak,Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Labuan.

Sebanyak 66 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalahKluster Tapak Bina Persiaran Cybersouth (196 kes), Kluster Jalan Jelawat (88 kes), dan Kluster Subang Dua (46 kes).

Tiada ulasan: