Isnin, 29 Mac 2021

Kes aktiviti pusat hiburan paling tinggi ingkar SOP

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik lagi untuk hari ketiga berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 107 individu diberkas semalam berbanding 80 individu dicekup kelmarin dan 54 individu ditahan Khamis lalu.

“Daripada jumlah itu, 89 dikompaun dan baki 18 direman dengan kes tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan yang mencatatkan sebanyak 75 kes,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Jelas beliau, ini diikuti dengan kesalahan gagal mematuhi jarak fizikal (24), tiada penyediaan alatan merekod butiran diri pelanggan (dua) dan pelbagai kesalahan lazim lain lagi (enam).

Dalam pada itu, jumlah pekerja asing didapati positif Covid-19 setelah melalui saringan wajib di seluruh negara semalam mencatatkan angka kedua terendah dalam sejarah.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia merekodkan cuma lima orang sejak kali terakhir angka paling rendah pada 14 Mac lalu.

Ketika tarikh tersebut, hanya dua individu disahkan sebagai positif wabak berkenaan yang juga menyamai angka terendah pernah dilaporkan kementerian itu pada 12 Februari lepas.

Beliau turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dilaksanakan di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Kelantan bermula esok.

Ini susulan kemunculan Kluster Komuniti Gong Kulim di Mukim Semerak, Jajahan Pasir Puteh yang asalnya daripada seorang lelaki warga tempatan dan berusia 61 tahun pada 21 Mac lalu.

Jelas Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan juga mengesahkan berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak direkodkan di lokaliti itu.

Sementara itu, PKPD di Penjara Tapah di Daerah Batang Padang, Perak dilanjutkan lagi buat kali ketiga untuk tempoh selama dua minggu sehingga 12 April ini kecuali kuarters kakitangannya.UTUSAN

Tiada ulasan: