Ahad, 28 Mac 2021

Tiga pengganas ugut bunuh Tun M sudah dipenjara – KPN

MGF25032021_IGP-RASMI-MYSAMAN08
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Suspek pengganas Kumpulan Islamic State (IS) yang mahu membunuh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa menteri Kabinet kerajaan terdahulu telah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Mereka antara enam suspek pengganas Kumpulan IS yang ditangkap Polis Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 dan 7 Januari 2020 dalam beberapa siri operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Mereka merupakan lima warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia disyaki pengganas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, ketika tangkapan kesemua enam pengganas itu, polis berjaya menemui dan merampas dua helai bendera IS, sebilah parang dan pisau, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua individu yang ditangkap itu disiasat rapi sebelum mendapati mereka merupakan anggota Anshorullah At Tauhid, Sel Islamic State yang ditubuhkan pada Oktober 2019.

“Objektif penubuhannya adalah untuk mempromosi ideologi Salafi Jihadi, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan di Malaysia.

“Siasatan mendapai tiga daripada enam suspek pengganas yang telah ditahan mendapati mengeluarkan ancaman bunuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa menteri Kabinet kerana mengamalkan kerajaan thoghut.

“Selain itu mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas Pusat Perjudian di Genting Highlands Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Merujuk kepada ancaman berkenaan, tambah Abdul Hami, ia merupakan hasrat yang sering dikeluarkan oleh hampir kesemua pengganas dan kumpulan Pro-Daesh itu yang ditangkap oleh cawangan khas.

Justeru katanya , PDRM sentiasa menilai ancaman bunuh seperti itu.

“Namun hasil siasatan PDRM menunjukkan tiada sebarang perancangan ataupun persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan bunuh itu,” tegasnya.

Tiga suspek pengganas iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang telah mengeluarkan ancaman tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan yang berkaitan kumpulan pengganas atau perbuatan pengganas dan telah dijatuhkan hukuman penjara.

“Manakala tiga lagi suspek pengganas warga tempatan pula dibebaskan atas arahan timbalan pendakwa raya,” tegas Abdul Hamid.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: