KOTA TINGGI: Seorang pemandu lori tangki terpaksa menahan sakit kira-kira satu jam akibat tersepit selepas kenderaan dipandu terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran Sungai Dohol, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, kemalangan melibatkan lori tangki membawa muatan minyak dengan sebuah teksi jenis Toyota Camry yang mengakibatkan tiga mangsa cedera.
Katanya, pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.52 pagi sebelum seramai 12 anggota dengan kekuatan sebuah jentera dan kenderaan EMRS dihantar ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori berusia 58 tahun tersepit di dalam lori. Pihak bomba menggunakan ‘rescue tools’ untuk membuat kerja-kerja penyelamatan yang mengambil masa kira-kira satu jam.
“Mangsa mengalami patah di kedua-dua belah kaki selepas bahagian hadapan lori remuk akibat terbalik dalam kejadian itu manakala dua mangsa yang menaiki teksi berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jelas Azman, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada ambulans untuk rawatan selanjutnya.
Dalam pada itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan berkenaan penutupan sementara jalan di Jalan FT003 sec. 63.7 (Jambatan Sungai Dohol) ekoran kerja-kerja pembersihan minyak akibat kemalangan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya dari Kota Tinggi boleh menggunakan jalan alternatif dari Kota Tinggi, simpang Mawai, Tanjung Sedili dan keluar melalui simpang Felda Tenggaroh untuk ke Mersing.
Sementara itu pengguna dari Mersing boleh melalui simpang Felda
Tenggaroh, Tanjung Sedili seterusnya simpang Mawai bagi melancarkan
perjalanan.UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan