Isnin, 29 Mac 2021

Vape meletup dalam beg pinggang, mujur perut tak bocor..


vape

LAMA tidak dengar cerita rokok elektronik atau vape meletup. Terbaharu, seorang lelaki dari Temerloh, Pahang mengalami kejadian tersebut apabila pod vape yang digunakannya meletup secara tiba-tiba.

Ajwad Jaris, 22, dalam laman Twitter miliknya baru-baru menaikkan status: “Mulai hari ini, aku isytihar aku anti pod! Mujur meletup dalam beg siot. Habis duit 50 ringgit sekeping aku terbakar.”

Mulai saat itu, status tersebut kemudiannya di retweet semula dan menjadi viral.

Menurut Ajwad, kejadian itu berlaku awal pagi ketika dia sedang memandu dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum mendengar bunyi letupan kecil disusuli kepulan asap yang keluar daripada beg pinggang yang dipakainya.

“Saya baru keluar nak pergi kerja dan sedang memandu kereta. Ketika keluar simpang, saya dengar bunyi letupan tiga kali.

“Ketika itu, saya pakai beg di bahagian pinggang. Saya fikir power bank yang meletup. Saya tak boleh nak hentikan kereta dengan mengejut, jadi saya campak beg ke bahagian kerusi penumpang.

“Saya buka tingkap untuk bagi asap keluar. Saya periksa beg dan mendapati power bank masih elok. Rupa-rupanya pod (rokok elektronik) yang saya baru beli dalam sebulan atau dua bulan lepas yang meletup,” katanya seperti yang dipetik di portal mStar.

BERITA BERKAITAN Polis rampas rokok seludup bernilai RM52 juta, rampasan terbesar dalam sejarah

Katanya, selain daripada pod rokok elektronik itu hangus terbakar, sebahagian daripada wang kertas RM10 sebanyak lima keping di dalam beg itu turut terbakar.

“Beg saya bocor di bahagian depan. Mujur tak bocor di bahagian perut tempat saya pakai beg itu.

“Duit sejumlah RM50 terbakar. Saya dah pergi tukar di bank dan berjaya dapatkan RM40. Lagi RM10 memang dah tak boleh tukar.

“Pod memang tak boleh guna terus. Syarikat pengeluar juga dah hubungi saya dan sedang siasat punca kejadian itu,” ujarnya lagi.

Perkongsian Ajwad mengenai kisah itu menjadi tular selepas ia dikongsi di Twitter dan mendapat reaksi positif pengguna media sosial itu yang berkongsi panduan keselamatan.

Bagaimanapun, apabila berita itu turut dikongsi oleh pihak lain di Facebook, dia mendapati terdapat ribuan kecaman susulan kejadian itu, selain reaksi positif.

“Tapi bila ada satu page kongsikan kisah saya di Facebook, saya lihat hampir 6,000 komen kecaman.

“Mereka kata, kalau tak pandai guna, jangan pakai, menyusahkan orang. Saya gelak tak berhenti baca semua komen. Tapi saya tak ambil hati,” katanya.

Menurut penyelia tapak pembinaan itu, dia sudah menggunakan rokok elektronik sejak berusia 18 tahun demi menghilangkan ketagihan rokok dan sehingga kini sudah memiliki enam jenis rokok elektronik.

“Saya dah guna enam pod. Kalau saya tak pandai pakai, yang pertama dulu mesti sudah rosak.

“Saya mula merokok selepas tamat sekolah. Kemudian saya beralih ke rokok elektronik untuk kurangkan ketagihan.

“Memang ada target nak berhenti terus, tapi perlahan-lahan saya cuba,” ujarnya.

Tiada ulasan: