IPOH: FINAS anggap kerosakan fosil dan dinding Gua Matsoorat yang didakwa disebabkan kegiatan penggambaran oleh sebuah syarikat produksi drama sebagai sesuatu yang serius.
Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid, berkata siasatan sedang dijalankan dan laporan penuh akan diserahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
"Kami di FINAS berasa begitu kecewa dengan apa yang berlaku kerana ia adalah satu pencerobohan terhadap khazanah negara yang mana sepatutnya kru produksi harus berhati-hati.
"Bagaimanapun kita sedang menyiasat perkara ini dan menunggu laporan penuh daripada pihak produksi sebelum diserahkan kepada kementerian," katanya selepas Penutupan Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik, hari ini.
FINAS juga mengarahkan bahagian penguatkuasaannya untuk menilai semua Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) yang sudah dikeluarkan kepada mana-mana produksi sebelum ini.
"Sekiranya ia adalah kawasan yang sensitif dari segi khazanah negara, prasejarah dan sebagainya, kita seharusnya menilai semula pengeluaran lesen SPP ini untuk memastikan perkara seperti ini tidak lagi berlaku," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Negeri Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat di sini didakwa dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan kerosakan di tapak bersejarah itu daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan selepas penggambaran sebuah drama selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran tajuk drama itu pada dinding gua.
Pengarah Michael Ang menerusi Instagram turut menyatakan kekesalan
dengan insiden itu dan memberitahu sedang mengesan individu berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan