Rabu, 31 Mac 2021

Lebih 1,000 dikompaun RM10,000 belum tampil kemuka rayuan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
ADHAM Baba bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 individu yang dikenakan kompaun RM10,000 sejak Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan pada 11 Mac lalu, belum mengemukakan rayuan pengurangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, mereka boleh tampil berbuat demikian dengan membuat rayuan mengikut jenis kesalahan dilakukan kepada pengarah dan timbalan pengarah kesihatan negeri.

“Setakat ini tiada individu yang dikenakan kompaun RM10,000 membuat rayuan. Apabila rayuan dibuat, kompaun (baharu) dikeluarkan berdasarkan jenis serta tarikh bila kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program di bawah inisiatif Gaya Hidup Sihat Komuniti Perpaduan-Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tempoh 2021-2025, di sini hari ini.

Yang turut sama menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Nota Kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Md Radzi manakala Kementerian Kesihatan Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah.

Adham berkata, kertas siasatan akan dibuka bagi membuat proses rayuan kompaun itu oleh inspektor kesihatan untuk menilai apakah jenis kesalahan yang dilakukan dan jumlah kompauan yang akan dikenakan semula.

Katanya, kertas siasatandibuka kepada empat kategori iaitu orang kurang upaya, kumpulan B40, pelajar serta mereka yang merasakan tidak mampu untuk membayar kompaun.

“Orang yang dari kumpulan B40 perlu kemukakan bukti-bukti bagi membolehkan mereka membuat rayuan terhadap kompaun yang dikeluarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adham berkata, penguatkuasaan undang-undang dan kenaikan kadar kompaun sejak 11 Mac lalu bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman, sebaliknya sebagai langkah untuk mendidik bagi memutuskan penularan Covid-19.

“Ini adalah untuk menggalakkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kementerian Kesihatan juga ingin menegaskan bahawa individu yang telah ditawarkan kompaun oleh pegawai diberi kuasa, untuk segera membayar kompaun tersebut bagi mendapatkan pengurangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: