KLANG: Walaupun sudah dua kali masuk ke pusat pemulihan dadah, ternyata tidak menginsafkan seorang lelaki apabila sekali lagi ditahan di rumahnya di Flat Sri Perantau, di sini yang dijadikan lokasi sarang penagihan.
Bukan itu sahaja, lelaki yang dikenali sebagai Angah, 47, itu turut bertindak mengajak isterinya Sufiah, 27, mengikutnya menghisap dadah.
Menurutnya, dia mula menghisap heroin kira-kira lapan tahun lalu kerana tertekan dengan masalah keluarga yang dialaminya.
“Saya mengenali Sufiah selepas keluar daripada pusat pemulihan kira-kira empat tahun lalu dan mengambil keputusan untuk berkahwin. Malah selepas berkahwin, saya telah mengajaknya untuk ikut serta.
“Walaupun gaji harian sebanyak RM80, saya menggunakan sebahagian daripadanya untuk membeli sepeket heroin setiap hari,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, dalam Operasi Perdana, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menahan 30 individu termasuk pasangan suami isteri terbabit yang dijalankan di sekitar daerah Klang.
Sementara itu, Pengarah AADK Selangor, Dr. Nazira Sadiron berkata, seramai 50 anggota AADK Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang terlibat dalam operasi yang bermula pukul 8 pagi itu.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan setelah menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar daerah tersebut serta risikan selama tiga minggu yang dilakukan anggotanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan